Benarkah Proton pernah eksport ke Amerika Syarikat?
Keratan akhbar ini mencetuskan satu pencarian tentang kisah 40 tahun dahulu.
Tak banyak maklumat kukuh tentang Proton Saga edisi Amerika Syarikat, yang ada hanyalah laporan akhbar lama, artikel ilmiah dan rekod perbahasan parlimen.
Apa spec Proton Saga untuk Amerika Syarikat?
Adakah menggunakan logo sama seperti untuk United Kingdom?
Namun akhirnya itu terjawab dengan adanya brochure sebenar Proton America ini.
Brochure ini unik kerana ini bukan brochure jualam awam tetapi adalah untuk merekrut pengedar.
Font nama Proton juga berbeza dari apa yang digunakan di Malaysia dan pasaran-pasaran lain.
Tidak ada logo pada grill hadapan dan rim cover juga mempunyai design yang berbeza.
Dari segi mekanikal Proton Saga Amerika didatangkan dengan enjin 1.5 liter.
Pilihan transmisi pula manual 5 kelajuan atau automatik 3 kelajuan.
Enjin masih lagi menggunakan karburetor dan bukannya sistem suntikan bahan api.
Persoalan lain pula yang timbul, kenapa Proton Saga tidak pernah terjual di Amerika Syarikat?Apa jadi dengan syarikat Proton America atau juga dikenali sebagai PAI?
Kita sorot semula situasi Proton pada waktu itu.Separuh kedua 80an bermakna Proton masih setahun jagung dan hanya ada satu model iaitu Proton Saga. Itu pun tidak sampai 50,000 unit dihasilkan. Ini jauh berbeza dengan Proton sekarang yang telah menghasilkan 5 juta kenderaan.
Krisis kewangan pada waktu itu membuatkan jualan Proton jatuh merudum. Oleh itu Proton harus segera mencari pasaran baru demi kelangsungan hidup. Di sinilah datangnya Malcolm Bricklin, seorang businessman Amerika.
Beliau menjanjikan jualan setinggi 100,000 unit pada tahun pertama di Amerika Syarikat. Malah, Malcolm turut berjanji melaburkan 10 juta dolar untuk modifikasi Proton Saga. Ini adalah bagi memenuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar USA.
Boleh percaya ke janji-janji manis Malcom Bricklin ni?
Dr. Mahathir kenal Malcolm melalui Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi penasihat keselamatan negara kepada Presiden Nixon. Malcolm Bricklin pula telah terbukti menjual 163,000 unit kereta Yugo dalam masa 3 tahun. Ini sekaligus memecahkan rekod jualan terpantas kenderaan dari Eropah.
Maka dikhabarkan Proton telah menghantar 4 unit Proton Saga ke Los Angeles dengan kapal terbang. Kemudian brochure ini terhasil untuk merekrut para pengedar di seluruh Amerika Syarikat.
Namun selepas itu Malcolm Bricklin menjual kepentingannya dalam syarikat Global Motors yang memiliki Proton America. Pergeseran turut berlaku antara Proton dengan Mitsubishi Motors Coporation. Hal ini kerana MMC sendiri sudah ada rakan kongsi bagi pasaran Amerika Syarikat.
Akhirnya projek ini terkubur dan Proton memberi perhatian kepada pasaran United Kingom. Di sana Proton berkembang pesat dan berjaya menjual 5000 unit dalam masa 6 bulan. Ini mengatasi rekod Hyundai yang mengambil masa 18 bulan bagi jumlah jualan yang sama.